Assalamualaikum & Selamat Sejahtera
<Untuk tatapan pembaca & sebagai Nota saya>
Jika
anda ingin melihat kehidupan anda, kerjaya anda, perniagaan anda
mudah-mudahan penuh dengan keberkatan atau jika apa yang kita inginkan
belum tercapai, apa yang anda patut buat?
Ada 10S yang anda boleh buat! :-
1- Syukur-
Ya! Bersyukur kerana prinsip bersyukur adalah setiap apa yang kita
syukuri akan membawa nikmat lebih banyak dari Tuhan. Orang yang sentiasa
bersyukur juga adalah orang yang kurang
merungut dan orang yang banyak merungut adalah mereka yang mungkin
kurang bersyukur. Orang yang setiap hari bersyukur, jiwa mereka akan
lebih tenang dan bahagia. Selain daripada bersyukur kepada Tuhan yang
Maha Kuasa, kita juga dapati bersyukur dengan berterima kasih kepada
manusia lain yang membantu kita juga adalah salah satu perkara yang
membawa kepada keberkatan dan kebahagiaan.
2- Sedekah-
Ya! Bersedekah! Sedekah adalah hikmah Tuhan untuk mengajar manusia
menzahirkan kesyukuran. Selama ini kita banyak menerima "sedekah" dari
Tuhan dalam ertikata banyak nikmat yang tidak terhitung yang diberikan
kepada kita, sebenarnya bukan setiap apa yang Tuhan berikan kepada kita
itu adalah hak kita, sebahagian daripadanya adalah hak orang lain yang
diberikan melalui kita. Contohnya seorang anak bekerja mendapat gaji,
tetapi rezeki itu mungkin untuk di salurkan sedikit kepada ibu bapa kita
yang telah tua. Sedekah sedikit atau banyak ikut apa yang kita rasa
suka dan seikhkas hati kita. Jangan lupa juga untuk berdoa agar dengan
keberkatan sedekah tersebut, maka Allah swt akan sentiasa perbaiki hati
kita, diri kita, sangkaan kita dan membantu menguruskan dan memudahkan
setiap urusan kita.
3- Salam atau Selamat -
Ya!
Memberikan salam kepada setiap muslim lain yang kita jumpa samada kenal
atau tidak atau mengucapkan selamat kepada orang lain yang bukan Islam.
Ucapan salam atau selamat sebenarnya membuka pintu rezeki kerana
barangsiapa yang menyambung silaturrahim, Allah swt membuka pintu
rezekinya. Salam juga adalah cara kita mendoaka kesejahteraan orang
lain, barangsiapa yang mendoakan orang lain kebaikan, dia akan mendapat
kembali kebaikan tersebut mudah-mudahan berkali-ganda.
4- Senyum-
Ya! Senyum adalah sedekah dan barangsiapa yang bersedekah, Allah swt
akan memberikan dia lebih banyak lagi. Senyuman juga membuka peluang dan
pintu rezeki. Selain daripada itu, senyuman membantu kita fokus melihat
kepada perkara yang baik di sekeliling kita dan itu penting, kerana apa
yang kita fokus, itulah yang kita akan dapat. Bukankah Allah swt
mengikut sangkaan hambaNya?
5- Sujud-
Ya! Sekiranya
kita mahukan keberkatan di dalam hidup kita, kita perlu banyak sujud
kepadanya. Lebih banyak ujian yang hadir dan lebih banyak anda mahu
capai tingkatan atau tahap seterusnya di dalam hidup anda, lebih banyak
sujud yang anda perlukan.
Untuk kaum muslimin, sujud di
solat-solat wajib dan banyakkan sujud di solat-solat sunat seperti
tahajud, dhuha, solat sunat sebelum dan selepas solat fardhu, solat
hajat, istikharah dan taubat setiap malam. Sujud adalah saat seseorang
hamba paling hampir dengan Tuhannya. Waktu sujud terakhir adalah di
antara saat doa paling makbul. Berapa banyak kita bersujud akan membawa
banyak keberkatan dalam hidup kita.
6- Selawat-
Ini
juga rahsia besar untuk mencapai segala hajat atau memperbaiki hidup
dunia akhirat. Sudahkah anda berselawat 1,000x setiap hari? Jika tak
mampu 100x? Mana nak dapat dengan setiap satu selawat kita, Allah swt
dan malaikat balas balik 10x? Setiap doa kita akan didoakan semula 10
kali ganda!
7- Sumbang-
Berapa banyak anda menyumbang
tenaga, masa dan apa yang anda mampu kepada membantu orang lain mengikut
kebolehan dan kepakaran anda? Orang yang memberi, sentiasa akan diberi
semula lebih banyak dariNya. Itu hukum alam, the more you give, the more
you get. Ilmu menjadi ikhlas adalah melakukan lebih banyak dari apa
yang dibayar atau diperlukan. Terutamanya kepada orang yang paling
hampir kepada kita. Suami, isteri, ibu bapa, anak-anak, adik beradik,
sanak saudara, jiran dan ramai orang lain.
8- Serah-
Serah
atau penyerahan; submit diri kita totally kepadaNya di dalam setiap
tindakan kita. Minta Dia yang uruskan dan kita buat sebagai level
manusia yang hanya mampu sekadarnya. Sebenarnya mana kita ada upaya
menjadikan sesuatu. Kita hanya mampu Doa, Ikhtiar, Ilmu dapatkan dan
tawakkal. Bila kita lakukan dengan penuh penyerahan, Dia tahulah nak
aturkan terbaik untuk kita.
9- Silaturrahim-
Ya! Merapatkan
silaturahim merupakan salah satu cara untuk mendapatkan lebih banyak
kebahagiaan dan keberkatan di dalam hidup, Hari ini ada banyak cara atau
teknologi yang kita boleh gunakan untuk merapatkan hubungan antara kita
dan saudara mara kita. Besarnya kebaikan merapatkan silaturrahim hingga
salah satu pintu syurga disediakan untuk dimasuki oleh mereka yang
hidup mereka sentiasa merapatkan silaturrahim.
10- Sabar- Sabar
di dalam setiap situasi, cabaran atau ujian. Sabar dalam doa, usaha,
sabar dalam muhasabah diri, sabar dalam memperbaiki diri, sabar dalam
memahami kesilapa diri, sabar di dalam berdoa, sabar di dalam segala
aspek. Maksud sabar bukan tunggu tapi maksudnya bertenang. Jika belum
capai, teruskan buat dalam sabar. Bila kita tidak sabar, kita akan
tercabar!
Sebenarnya apa yang saya kongsikan berdasarkan
pengalaman saya ini bukan hanya sekadar untuk mendapatkan keberkatan di
dalam hidup tetapi ia juga adalah formula penting di dalam membina
kerjaya atau perniagaan yang berjaya. Semoga ianya memberi manfaat
kepada anda.
#Dr. Azizan Osman
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment